Bahasa Melayu Novel Bimasakti Menari ini merangkumi nota bagi sinopsis, tema dan persoalan, watak dan perwatakan, teknik plot, plot, gaya bahasa, nilai dan pengajaran.
SINOPSIS
Novel ini mengisahkan watak Nurul Hafsa yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin. Beliau dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari Jepun untuk melihat buruj Orion atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap namun gagal kerana langit terlalu cerah. Nurul Hafsa pada mulanya runsing dengan situasi tersebut akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor. |
TEMA DAN PERSOALAN
TEMA Tema novel ini ialah kegigihan anak muda dalam usaha melestarikan alam sekitar. Nurul Hafsa berazam untuk mewujudkan Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor. Dia mendapat bantuan abangnya, Budiman dan sahabat abangnya, Muhammad Taufik. Namun begitu, perjuangan mereka dihalang oleh Dato’ Johann Arlington-Majid yang merupakan musuh bapa Taufik. Beberapa musibah yang berlaku akhirnya dapat dtatasi oleh mereka sehingga membawa kepada pelaksanaan projek yang dicadangkan oleh Nurul Hafsa. |
PERSOALAN 1. Persoalan perasaan cinta akan alam sekitar demi generasi akan datang. Nurul Hafsa berjanji kepada rombongan pemerhati bintang dari Jepun untuk memulihkan keadaan langit Kuala Selangor yang terlalu cerah yang berpunca daripada pencemaran cahaya. 2. Persoalan kasih sayang antara ahti keluarga. Taufik sangat sayang akan keluarganya dan tidak pernah sangsi akan kasih sayang ibunya terhadapnya. 3. Persoalan bekerjasama dalam menyiapkan tugasan. Taufik, Nurul Hafsa, dan Budiman bekerjasama untuk menyediakan laporan tentang Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Lumpur untuk dibentangkan di hadapan cendekiawan dan menteri besar. 4. Persoalan semangat setia kawan. Budiman dan Nurul Hafsa segera mencari Taufik apabila dimaklumkan oleh Taufik tentang kecederaannya lalu menelefon ambulans untuk membawa Taufik ke hospital. 5. Persoalan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Taufik bergiat aktif dalam pembinaan rumah mesra alam yang bernama Ikhtiar TeknoAlam dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar. |
WATAK DAN PERWATAKAN
WATAK UTAMA
Nurul Hafsa 1. Dia anak bongsu Haji Yassir dan adik Budiman. 2. Dia berpendidikan tinggi. Buktinya, dia lulusan ijazah dalam bidang fizik dan kaji falak dari Universiti Jordan. 3. Perkerjaannya adalah sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor, 4. Dia bersemangat tinggi. Buktinya, dia berdoa dan menanam azam untuk menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam dengan penuh dedikasi selepas sotat. 5. Nurul Husna berani. Buktinya, dia berani menjawab soalan yang tidak putus-putus daripada Dato’ Johann Arlington-Majid dan membentangkan laporannya untuk mewujudkan Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor di hadapan menteri besar, ahli akademik, pencinta alam, dan usahawan teknologi hijau. 6. Dia mencintai alam sekitar. Buktinya, dia berjuang untuk mengatasi masalah pencemaran cahaya di Kuala Selangor. |
WATAK SAMPINGAN
Muhammad Taufik 1. Muhammad Taufik ialah anak tunggal Tan Sri Muhaimin dan Puan Maryam (Marion Wickham Abdullah). 2. Dia berpendidikan tinggi. Buktinya. dia melanjutkan pelajaran di Otago New Zealand pada peringkat sarjana. 3. Dia pencinta alam sekitar. Buktinya, Muhammad Taufik berusaha untuk melestarikan alam sekitar melalui projeknya, Ikhtiar TeknoAlam, iaitu projek rumah mesra alam komersial. 4. Dia penyayang. Buktinya, dia mempelawa ibunya datang ke rumahnya untuk meluangkan masa bersama-sama. 5. Dia baik hati. Buktinya, Taufik bersedia membantu Nurul Hafsa dan Budiman untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap. 6. Muhammad Taufik berani. Buktinya, dia berani mengikut arahan penculik supaya dia dapat mengesan kedudukan Nurul Hafsa. 7. Dia juga taat akan ibu bapanya Buktinya, dia tidak membantah arahan ibu dan ayahnya untuk mengikut mereka ke New Zealand walaupun dia keberatan. |
Budiman 1. Budiman ialah anak sulung Haji Yassir dan abang Nurul Hafsa. 2. Pekerjaannya adalah sebagai guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Keramat. 3. Dia penyayang. Buktinya, dia sering menemani adiknya terutama ketika mengambil data dan populasi kelip-kelip. 4. Dia pencinta alam sekitar. Buktinya, dia berusaha untuk membantu Nurul Hafsa mengembalikan kegelapan langit Kuala Selangor. Budiman juga prihatin. Buktinya, dia segera mendapatkan Taufik sebaik-baik sahaja menerima panggilan tentang kemalangan yang menimpa Taufik |
LATAR
LATAR TEMPAT 1. Di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor – Sekumpulan murid sekolah rendah dari Jepun duduk di alas platform melengkung dan mengelilingi kubah balai cerap. 2. Di Rumah Ikhtiar TeknoAlam – Puan Wickham tinggal di rumah Ikhtiar TeknoAlam setelah dipelawa oleh anaknya, Muhammad Taufik. 3. Di Kampung Kuantan – Nurul Husna datang ke sini dengan kereta yang dipandu oleh ayahnya, Haji Vassir untuk melihat kelip-kelip. 4. Di Perpustakaan Awam Sultan Sharafuddin, Kuala Selangor – Nurul Hafsa dan Taufik membual perbincangan tentang projek Kawasan Simpan Langit Gelap manakala Budiman menyiapkan tugasan untuk ijazah sarjana. 5. Di Pejabat Daerah Kuala Selangor – Nurul Hafsa membentangkan isu pencemaran cahaya dan kesannya terhadap keadaan langit serta populasi kelip-kelip di hadapan pegawai daerah dan panel penasihatnya di dalam bilik mesyuarat. 6. Di Dewan Kuliah I, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam – Nurul Hafsa membuat pembentangan tentang projek Kawasan Simpan Langit Gelap di hadapan menteri besar, ahli akademik, pencinta alam, dan para usahawan. 7. Di Hospital Besar Tanjung Karang – Taufik menerima rawatan setelah cedera akibat dipukul oleh beberapa orang yang tidak dikenali. 8. Di Masjid Jamik Sultan Ibrahim, Kuala Selangor – Tempat majlis pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan Puan Maryam. |
LATAR MASA 1. Pada waktu pagi – Budiman yang terjaga pada pukul lima pagi dan tidak dapat melelapkan matanya membuat keputusan untuk melawat Taufik di hospital. 2. Pada waktu tengah hari – Tan Sri Muhaimin makan makanan yang dimasak oleh bekas isterinya dengan berselera tanpa sepatah kata. 3. Pada waktu malam – Pada pukul sembilan malam, Nurul Hafsa memerhatikan cahaya yang terbias di kaki langit ketika berada di Balai Cerap Sultan Salahuddin. 4. Pada hari Jumaat – Taufik menerima nota daripada penculik yang memintanya datang ke stesen Petronas pada hari Jumaat, pukul 8.30 pagi. |
LATAR MASYARAKAT 1. Masyarakat yang terdiri daripada golongan korporat – Tan Sri Muhaimin dan Dato’ Johann Arlington-Majid menjadikan bidang perniagaan lampu sebagai produk jualan mereka. 2. Masyarakat yang kaya-raya – Tan Sri Muhaimin membeli anak sungai di Kampung Kuantan terus ke Kampung Api-api seluas 50 hektar apabila diminta untuk berbuat demikian oleh anaknya. 3. Masyarakat yang cinta akan alam sekitar – Nurul Hafsa, Muhammad Taufik, Budiman, dan Marion Wickham mencintai alam sekitar. 4. Masyarakat bangsa asing – Wickham yang berbangsa Kaukasia merupakan seorang daripada pengiring rombongan kanak-kanak dari Jepun melawat ke Balai Cerap Sultan Salahuddin. 5. Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur – Tan Sri Muhaimin pernah berkahwin dengan wanita berbangsa Kaukasia, iaitu Maryam @ Marion Wickham Abdullah. 6. Masyarakat yang gigih berusaha untuk mencapai matlamat – Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik menyediakan laporan lengkap untuk pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap dengan mengadakan perbincangan di perpustakaan. |
NILAI DAN PENGAJARAN
NILAI 1. Nilai kerajinan Nurul Hafsa gigih dan tekun menyiapkan laporan untuk merealisasikan kewujudan Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor. 2. Nilai kerjasama Taufik, Nurul Hafsa, dan Budiman bekerjasama untuk menyediakan laporan tentang Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor untuk dibentangkan di hadapan cendekiawan dan menteri besar 3. Nilai kasih sayang Budiman sentiasa menemani adiknya, Nurul Hafsa terutamanya untuk mengambil data dan populasi kelip-kelip. 4. Nilai keberanian Taufik berani mengikut arahan kumpulan penculik supaya dia dapat mengesan kedudukan Nurul Hafsa. 5. Nilai baik hati Nurul Hafsa berhasrat untuk membina stor supaya ayahnya dapat menyimpan peralatan kebunnya dan terhindar daripada kecurian. 6. Nilai kesyukuran Budiman dan Haji Yassir bersyukur kerana Nurul Hafsa selamat setelah dibebaskan oleh penculik. |
PENGAJARAN 1. Kita hendaklah melaksanakan tugasan yang diberi dengan penuh bertanggungjawab. Nurul Hafsa berusaha untuk melaksanakan tugasnya sebagai pegawai sains yang bertanggungjawab apabila pengunjung di Balai Cerap Sultan Salahuddin tidak dapat melihat bintang. 2. Kita hendaklah bekerjasama bagi menjayakan sesuatu usaha. Taufik, Nurul Hafsa, dan Budiman bekerjasama untuk menyediakan laporan tentang Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor. 3. Kita hendaklah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Nurul Hafsa berusaha untuk merealisasikan kewujudan Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor. 4. Kita mestilah menggunakan ilmu yang dipelajari dengan sebaik-baiknya. Muhammad Taufik menggunakan ilmunya untuk membina rumahnya yang berteknologi tinggi. 5. Kita sewajarnya menjaga kurniaan Tuhan yang sangat berharga. Nurul Hafsa mengingatkan hadirin yang menyertai sesi pembentangan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap agar taat akan perintah Tuhan dengan tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi dan memelihara alam persekitaran. |
Lubuk Soalan
Koleksi Nota Bahasa Melayu Tingkatan 5